KHABBAB BIN AL-ARAT

 

KHABBAB BIN AL-ARAT

 

“APAKAH KAMU TELAH MELIHAT ORANG-ORANG KAFIR MENGINGKARI AYAT-AYAT KAMI”

(MARYAM 19:77)

 

Khabbab bin al-Arat berasal daripada keluarga Bani Tamim. Sahabat Rasulullah SAW ini merupakan seorang yang cerdik dan dicintai di dalam kabilahnya. Segala kebahagiaan yang dikecapinya tidak lama kerana diserang oleh kabilah yang lain. Akibat kekalahan yang dialami kabilahnya Khabbab menjadi mangsa tawanan bersama-sama wanita, anak-anak dan haiwan ternakan. Selepas berpindah milik dari seorang ke seorang, Khabbab telah dibeli oleh seorang wanita bernama Ummu Anmar al-Khuza’iyyah. Wanita ini melihat ada potensi yang boleh digunakannya pada kemudian hari.

PEMBUAT PEDANG

 

Ummu Anmar al-Khuza’iyyah telah menyerahkan Khabbab kepada seorang pakar pembuat besi. Khabbat telah dilatih untuk membuat pedang. Apabila sudah mahir, Khabbab telah diberikan sebuah kedai oleh wanita yang telah membelinya. Perniagaannya maju dan menguntungkan wanita tersebut. Kelebihannya berinteraksi dengan pelanggan membolehkan banyak menerima tempahan-tempahan membuat pedang. Selain itu, akhlak mahmudah yang dimilikinya seperti jujur dan amanah menyebabkan keyakinan orang terhadapnya kian bertambah dari hari ke hari.

CAHAYA KEIMANAN

 

Keadaan masyarakat Jahiliyyah pada masa itu sangat merunsingkan hatinya. Pedang-pedang yang dibuatnya telah meragut banyak nyawa. Pada suatu hari seorang pelanggannya telah memberitahu bahawa seorang pemuda telah mengaku bahawa dia adalah utusan Allah SWT. Tanpa berfikir panjang Khabbab meninggalkan kedainya bagi menjejaki sebuah kebenaran. Saat matanya bertentang dengan kekasih Allah SWT terpancar cahaya keimanan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Lafaz syahadah dimeterai dengan linangan air mata kegembiraan. Khabbab telah kembali kepada fitrah.

PRINSIP YANG TEGUH

 

Al-Ash bin Wa’il adalah salah seorang musyrikin Mekah yang menentang dakwah Islam. Selepas Khabbab memeluk Islam al-Ash bin Wa’il telah membuat tempahan pedang. Apabila mengetahui Khabbab telah mengakui kerasulan Rasulullah SAW dia tidak mahu melunaskan bayaran tempahan pedang yang telah disiapkan. Apabila Khabbab datang menagih hutang, al-Ash bin Wa’il menggugut supaya keluar daripada Islam terlebih dahulu. Khabbab berikrar tidak akan keluar Islam sungguh pun al-Ash bin Wa’il mati dan dibangkitkan semula. Al-Ash bin Wa’il menyindirnya dengan menyatakan bahawa jika dihidupkan kembali tagihlah semula hutang kerana pada waktu itu dia sudah kaya dan mempunyai keturunan. Namun Khabbab menegaskan tidak akan keluar daripada Islam hanya kerana hutang tersebut.

UJIAN KEIMANAN

 

Berita pengislaman Khabbab telah sampai ke pengetahuan Ummu Anmar. Khabbab telah dibawa ke kawasan padang pasir yang luas oleh Siba’ bin Abdil ‘Uzza, saudara Ummu Anmar bersama-sama beberapa orang pemuda Bani Khuza’ah. Khabbab dipakaikan baju besi lalu dijemur ditengah panas tanpa diberikan sedikit pun air. Diugut kembali kepada agama nenek moyangnya jika tidak mahu terus disiksa. Namun pendiriaannya tetap teguh menjunjung akidah Islam yang suci. Penegasannya itu memarakkan lagi api kemaharahan dihati mereka. Dikumpulkan semua besi yang ada dikedai Khabbab untuk dibuat rantai besi lalu dipanggang di atas api yang marak menyala. Besi panas itu dililitkan ke badan Khabbab. Khabbab telah mengadu tentang siksaan yang diterimanya kepada Rasulullah SAW. Rasullullah SAW menginggatkannya tentang ujian yang lebih dasyat diterima oleh umat yang terdahulu.

 HIJRAH KE MADINAH

 

Selepas beberapa siri penyiksaan yang menimpa umat Islam, Rasulullah SAW telah mengizinkan supaya berhijrah ke Madinah. Sebelum Khabbab melakukan hijrah tersebut, Ummu Anmar telah menderita sakit kepala yang luar biasa. Rasa kesakitan yang dialami tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata. Doktor menyarankan supaya diletakkan besi yang panas dikepala supaya dapat melupakan kesakitan kepala yang dialaminya. Anak-anaknya akur kerana tiada ubat yang mampu menyembuhkan kesakitan yang dialami oleh ibu mereka. Penderitaan yang Khabbab alami sebelum ini telah mendapat pembalasan yang sama.

BERJIHAD DI JALAN ALLAH SWT

 

Khabbab telah mengabadikan seluruh kehidupannya untuk Rasulullah SAW dan agama Allah SWT. Khabbab terlibat dengan peperangan Badar dan Uhud bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Di dalam peperangan Uhud telah menyaksikan kematian Siba’ bin Abdil ‘Uzza di tangan singa Allah SWT iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib. Kematian itu disaksikan oleh Khabbab dengan hati yang tenang.

UMUR YANG PANJANG

 

Sejarah merakamkan Khabab telah melalui kehidupan bersama-sama empat Khalihah al-Rashidin. Para khalifah sangat menyintai, menghormati dan mengakui kemuliaannya. Saidina Umar RA pernah meminta Khabbab untuk duduk ditempatnya. Selain Khabbab, Bilal juga pernah diminta untuk berbuat demikian. Namun Khabbab lebih memuliakan Bilal kerana sangat dikasihi Rasulullah SAW.

            Saat kematian telah hampir tiba. Sahabat-sahabat mengingatkan kegembiraan yang bal dikecapinya nanti seperti umat-umat yang terdahulu. Khabbab sangat bimbangkan pahala amalan yang akan dibawa bersama. Ketika sedang sakit Khabbab menginggatkan tentang 80,000 dirham di dalam peti simpanannya supaya diinfakkan. Dunia tidak lagi berguna saat melihat sahabat-sahabat yang terdahulu pergi menninggalkannya. Khabbab menderita sakit yang lama sehinggakan dia menempelkan besi panas di atas perutnya bagi melupakan kesakitannya.

            Khabbab telah wafat di bumi Kufah pada tahun 37 H di usia 73 tahun. Saidina Ali bin Abi Talib telah mengimami solat jenazahnya selepas pulang dari peperangan Siffin. Khabbab merupakan sahabat yang pertama dimakamkan di bumi Kufah. Saidina Ali bin Abi Talib mendoakan supaya Allah SWT merahmati Khabbab.

“MASUK ISLAM KERANA BERHARAP, BERHIJRAH KERANA TAAT DAN HIDUP SEBAGAI MUJAHID”

(SAIDINA ALI BIN ABI TALIB)

 

Penulis:

MOHD SHAHIDAN BIN RAMLI

Master of Islamic Studies

Open University Malaysia

 

 

 

 

 

Comments